Jumaat, Ogos 27, 2010

ASING LAWAN TEMPATAN

Semua stesen radio di Malaysia menyiarkan lagu-lagu Indonesia. Cuma radio RTM mengawal jumlah siaran lagu Indonesia, tetapi radio swasta tidak. Kalau kita dengar Hot.fm, setiap jam pasti ada dua atau tiga lagu Indonesia. Mungkin lebih. Siaran lagu Indonesia di ERA tidak sekerap Hot.fm tetapi lebih kerap daripada stesen radio RTM.

Apapun, ada artis Indonesia yang lebih dikenali dan diminati di Malaysia daripada di negara sendiri kerana radio kita membantu mempopularkan mereka. Mana tidaknya, setiap hari lagu mereka berkumandang di udara kita. Maka popularlah Kris Dayanti, Anang, Rossa, Agnes Monica, kumpulan Ungu, Dewa, Matta dan banyak lagi.

Mungkin lumrah orang kita. Lebih menyayangi yang dari luar daripada yang tempatan. Lebih meminati filem barat daripada filem Melayu. Lebih meminati lagu Inggeris daripada lagu Melayu. Dan lebih meminati “bakat” dari luar berbanding dalam Negara. Contoh model-model dalam iklan sabun mandi, iklan minuman ringan, iklan kereta dan bermacam-macam iklan. Malah iklan itu sendiri terbitan luar negara, cuma dialihsuarakan saja di Malaysia. Iklan-iklan dari luar inilah yang kerap kita tonton melalui televisyen di negara kita. Dan ini sedikit banyak menjejaskan peratusan kandungan tempatan dalam siaran TV.

Tidak cukup dengan iklan terbitan luar negara, kita dilambakkan pula dengan program-program dari luar dalam saluran televisyen arus perdana. Sebut saja, semua ada. Dari Korea, China, Hong Kong, Jepun, Filipina, UK, Peranchis, Negara Latin Amerika dan yang paling banyak dari Amerika Syarikat dan Indonesia. Fakta yang menyedihkan, negara-negara tersebut termasuk Indonesia tidak menyiarkan drama atau filem dari Malaysia. Hanya Singapura dan Brunei Darussalam sahaja menyiarkan drama kita.

Yang merunsingkan kita ialah mesej yang dibawa oleh filem, drama dan sinetron ini.

Tidak banyak mesej positif. Lihat saja jalan cerita sinetron Indonesia. Ceritanya lebih kurang saja. Cinta terhalang. Banyak pula persamaan dalam adegan-adegannya. Yang paling popular ialah menonjolkan heroine yang “lembab”. Dari mula hingga akhir, tak sudah-sudah dianiaya, diperlekehkan, dihina, dikecam, didera dan berbagai adegan yang tidak logik sehingga audiens jadi menyampah .

Adegan lain yang biasa dalam sinetron Indonesia ialah hero atau heroine diusir keluar rumah, bertukar anak, buang anak, menyerahkan anak kepada keluarga angkat, bersekedudukan, hamil luar nikah dan adegan rumah dibakar atau terbakar. Fakta tak betul pun ada juga. Contohnya, wanita menjadi saksi nikah dan heroine bernikah berwalikan bapa angkatnya. Mazhab apa tu?? Audiens jadi keliru!

Kesimpulannya, stesen TV, janganlah terlalu ghairah membeli sinetron murah dari Indonesia. Bukan kita tidak ada syarikat tempatan yang mampu menerbitkan drama yang berkualiti. Drama seperti Nur Kasih, diulang siar pun masih banyak pengikutnya. Atau drama seperti Rozanna, Adamaya, Nenek Kebaya, Gelora di Hati Sara, Rafflesia, Wadi Rahmah, Aur dengan Tebing, Kutub Utara Kutub Selatan dan banyak lagi. Mesej yang dibawa jauh lebih baik daripada sinetron Indonesia!

Nota:

Perasan tak betapa ramai orang Myanmar, Kemboja, Vietnam, Thai, Afrika, Arab dan Indonesia bekerja di Malaysia?

Lihat siapa yang bekerja di ladang, hotel, restoran, kelab golf, kedai, kompleks beli –belah dan di rumah kita. Ke mana perginya orang kita???

SENYUM…TERIMA KASIH

BB,LL dan SS, itu amalan kita sejak zaman berzaman. BB, budi bahasa, LL lemah lembut dan SS sopan santun. Sayang sekali ciri-ciri ini kian pudar sehinggakan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan terpaksa mengadakan kempen untuk menghidupkan budaya BB, LL dan SS.

1. Senyum itu satu sedekah, tetapi , senyum biarlah bertempat.
Tidak semua orang dilahirkan dengan wajah yang manis, tapi senyuman di bibir akan memaniskan wajah yang ‘masam’ dan ‘garang”.
Senyumlah apabila berdepan dengan audiens.
Senyumlah apabila kita bertemu dengan klien.

Senyum apabila anda dimarahi? Boleh saja… kerana orang yang marah akan reda marahnya apabila melihat orang tersenyum.

2. Ucapkan terima kasih, itu paling mudah.

• Terima kasih kerana sudi meminjamkan duit kepada saya.
• Terima kasih kerana membayar balik hutang seperti yang dijanjikan.
• Terima kasih kerana membantu nenek melintas jalan.
• Terima kasih kerana menyiapkan laporan mengikut tarikh yang ditetapkan.
• Terima kasih Dato’ kerana meluluskan permohonan saya untuk ke luar negara.
• Terima kasih Lili atas pemberian oleh-oleh dari China.
• Terima kasih kerana membeli-belah di sini.
• Terima kasih kerana berurusan dengan kami.
• Terima kasih kerana membenarkan pegawai dari CRI menginap secara gratis di Asrama Seri IPPTAR.

Bukan sukar untuk mengucapkan terima kasih, cuma kadang-kadang kita TERLUPA! Atau dengan izin “taking things for granted”.


NOTA: Terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya.