Isnin, Mac 29, 2010

AKHIRNYA KE DAPUR JUGA…

“Pandai masak ke?” “Boleh ke dapur ke?” “Pandai berkemas?
“Mungkin ibu mentua sekarang tidak banyak kerenah. Tidak kisah kalau menantu (yang perempuanlah) tak pandai memasak dan mengemas.Betulkah? Mungkin ada kebenarannya. Hari ini soalan lazim ialah “cantikkah dia?”, “belajar di luar negerikah?”,“anak Dato’ mana”? dan soalan-soalan remeh yang lain.

Pada awal bulan Mac, saya tertonton drama “Dalil Cinta”. Tak perasan pula tv mana. Asalkan ada drama yang menarik, saya tonton, tak kiralah stesen mana. Jalan cerita Dalil Cinta mudah namun sarat dengan mesej. Cerita tentang pasangan suami isteri yang baru berkahwin. Suami seorang mekanik, isterinya masih belajar di kolej. Dan isteri ini tak pandai masak, malas mengemas rumah. Baginya, lebih mudah dan ekonomik untuk beli makanan di kedai kerana kalau masak pun, hanya dua orang yang nak makan. Jadi beli saja dan makan di rumah. Yang sedihnya, (nak menunjukkan si isteri ni memang pemalas) makan pun tak berhidang! Alasannya,senang tak payah cuci pinggan mangkuk. Jimat.

Ada satu adegan yang melucukan. Emak mentua dari kampung tiba-tiba datang menjenguk anak menantu di KL. Kelam kabut si isteri mengemas rumah. Kain baju yang belum berlipat ( isteri tak pandai lipat baju) disumbatnya ke dalam almari. Apabila Fahrin Ahmad (yang memegang watak suami) membuka almari, bertaburan baju jatuh terkeluar dari almari. Terkejut beruk emaknya!

Satu lagi adegan yang tak dapat saya lupakan ialah adegan ibu mentua menyuruh menantunya memasak ikan keli – masak asam pedas. Geli hati melihat Sharifah Amani membasuh ikan keli dengan sabun cuci pinggan. Bayangkan apa rasa asam pedas ikan keli!

Diringkas cerita, Fahrin dan Sharifah Amani berpisah sementara. Ibu bapa Sharifah Amani menghantarnya ke rumah ibu mentuanya untuk belajar memasak. Kesudahannya mereka berbaik semula.

Mesejnya mudah sahaja.

1. Orang perempuan, walau setinggi mana sekalipun kita belajar, sudahnya ke dapur juga. Walaupun kita ada pembantu rumah, kita wajib tahu memasak, lipat kain , kemas katil dan mengemas rumah.

2. Ibu bapa yang ada anak perempuan – latih anak perempuan agar cekap membuat kerja rumah. Kalau dapat emak mentua yang “tak kisah”, selamat anak kita. Kalau dapat yang cerewet?

3. Kalau tak pandai, kita belajar. Jangan pura-pura tahu. Kalau ketahuan, lebih gelabah jadinya.

NOTA: Wanita yang berkarier lebih besar tanggungjawabnya. Tambah pula kalau wanita yang bersuami yang mempunyai keluarga. Kaum bapa, sampai di rumah terus capai surat khabar atau tonton TV. Kaum ibu pula, terus ke dapur untuk menyiapkan makan malam. Kemudian tengok kerja sekolah anak-anak. Kalau tak ada pembantu, kita juga yang kena basuh basuh, lipat baju, seterika baju. Nak jimat belanja, semua kita buat sendiri. Kebanyakan suami buat apa??
BUAT TAK TAHU…

Selasa, Mac 23, 2010

RADIO OH RADIO!

Prestasi Radio

Pada awal bulan Mac, Zainuri Misfar menyentuh tentang prestasi radio di Malaysia. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zainuri. Stesen radio swasta lebih menonjol berbanding stesen radio kerajaan. Radio kerajaan kalah dari segi persembahan. DJ di stesen kerajaan seperti “syok sendiri”.

Bukan tidak ada usaha daripada pengurusan radio untuk memulihkan radio RTM . Banyak masalah di RTM. Masalah yang diwarisi sejak abad yang lepas. Masalah DJ “tua”, kurang peruntukan promosi, kurang penyelarasan antara radio dan TV, tidak ada sokongan mantap daripada pihak yang terlibat dll.

Mungkin ramai yang tidak tahu. Format Hot.fm pernah dikemukakan kepada radio RTM pada sekitar tahun 2000 oleh agensi pamasaran ketika itu. Malah nama itulah yang dicadangkan. Sayang sekali tidak diterima kerana mungkin “tidak selari dengan sound of station radio kerajaan”. Jadi apabila Izham (yang memberi idea) berhijrah ke Media Prima, beliau diberi tanggungjawab untuk memulakan stesen radio. Format yang sama juga yang dicadangkan kepada pengurusan di sana. Format ini diterima dan lihat hasilnya hari ini. HOT.fm meletup dalam jangka masa yang singkat.

Hot.fm banyak kelebihan. Pengurusannya ada kuasa untuk mengambil dan membuang petugasnya. Mereka boleh membayar gaji yang setimpal dengan bakat, kebolehan dan populariti DJnya. Kalau di RTM, semuanya ada peraturan. Nak bayar upah pun mesti kadar yang diluluskan oleh Perbendaharaan. Tak boleh sesuka hati. Pendek kata pengurusan stesen swasta lebih mudah membuat keputusan. Contoh, pada Ogos lepas, Seelan Paul membuat keputusan untuk memberi RM20 ribu kepada juara pertandingan mencipta lagu patriotik selepas Faizal menelefonnya on air. Mungkin ini satu gimik. Apapun, saya pasti Faizal tidak perlu menyediakan kertas kerja atau kertas cadangan untuk Seelan Paul membuat keputusan.

Hot.fm satu-satunya stesen radio Melayu miliki Media Prima. Media Prima ada dua stesen TV Melayu – TV3 dan TV9. Tidak ada masalah bagi TV3 dan TV9 untuk mempromosi Hot.fm. Malah Faizal Ismail, Farah Fauzana, Kieran dan AG sering dipromosikan melalui TV3 dan TV9. Farah ada programnya sendiri di TV9 – Alahai Farah. Faizal, Kieran dan AG menjadi pengacara program TV, khususnya program hiburan.Faizal Ismail amat sinonim dengan Muzik Muzik/Juara Lagu. Muka Faizal dan Farah setiap hari dapat kita lihat di 8TV. Macam mana tak popular! Dan yang penting mereka ada kimia (chemistry). Kalau Faizal diberi pasangan lain; rasanya tak ada chemistry.

Begitu juga Farah, kalau dipasangkan dengan orang lain, pun tak ada chemistry.Begitu juga Sinar.fm yang boleh berbangga dengan pasangan trio pada sebelah pagi. Mereka terdiri daripada Kak Engku (KE), Salleh Yaacob (SY) dan Krill. Walaupun tiga orang, mereka tidak berebut-rebut untuk bercakap. Mereka saling melengkapi. .Persembahan mereka bersahaja, perbualannya biasa seperti orang bersembang. Lancar, tidak tersekat-sekat atau gagap.

Ini yang selalu saya ingatkan semasa saya di RTM. Bahasa di radio ialah bahasa pertuturan, tetapi jangan sampai kita bercakap “tunggang terbalik”. Amat malang kerana hasrat pengurusan radio untuk melahirkan DJ impian tidak kesampaian. Masih banyak kekurangan . Masih ada DJ yang tidak membuat perancangan. Apabila tidak ada perancangan, tidak ada talking points, maka penyampaian pun hancur. DJ RTM ada suara, malahan kualiti suara DJ RTM lebih baik berbanding yang swasta. Cuma banyak ruang untuk penambahbaikan dari segi persembahan .
Bak kata anak muda sekarang,“ada sikit kureng”. Apa tidaknya? Masih ada DJ yang menekan-nekan perkataan sehingga janggal bunyinya. Malah ada yang bunyi seperti mengajar, bercakap berjela-jela dan bahasa tunggang- langgang. Bukanlah semua DJ RTM teruk, ada yang baik cuma kurang diketengahkan kerana kurang pakej.

Peranan IPPTAR

Bermula tahun 2009, skop latihan IPPTAR diperluas kepada ketiga-tiga sektor dalam Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Pada tahun ini IPPTAR menganjurkan 85 kursus, 13 kursus untuk radio dan 7 daripadanya khusus bagi juruhebah. IPPTAR berusaha mencari tenaga pengajar yang terbaik untuk semua kursus anjurannya.

Semasa berkursus, DJ radio diajar tentang teori , diberi latihan amali dan berbincang mengenai kajian kes. Untuk menjadi penyiar yang lengkap, seseorang itu perlu banyak pendedahan. Seorang DJ mesti mempraktikkan ilmu yang diperoleh daripada berkursus. Selepas berkursus, memang wujud satu semangat baru dan keinginan untuk berubah. Ini fakta. Namun semua itu tidak kekal lama kerana selepas dua atau tiga bulan, DJ akan kembali ke sikap lama.

Pemahaman saja tidak cukup. Yang penting amalan. Mesti dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi satu kebiasaan dan kemudian menjadi satu karakter seperti yang kita harapkan. Kalau di radio RTM, kita mahu hasilnya DJ yang popular dan bagus. DJ Impian!

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menjadikan Faizal Ismail, Ally Iskandar dan Cheryll Samad sebagai tanda aras bagi penyampai TV. Ini ekoran kejayaan mereka mengacarakan Anugerah Juara Lagu tempoh hari. Memang hebat persembahan mereka. Pihak media pun memuji mereka. Skrip ringkas. Perbualan mereka tidak berjela-jela. Mereka faham apa yang mereka perkatakan. Mereka tidak merujuk kepada teks. Kelihatan sangat profesional. Mereka nampak bijak apabila berjenaka spontan. Tidak ada lawak bodoh.

Pendek kata ada chemistry!Chemistry inilah yang belum terjumpa di radio RTM. Sebutlah nama pasangan di radio RTM. Siapa yang ada? Hezri dan Nazi, Muaz dan Azura? Mereka belum cukup popular. Belum ada yang tersenarai dalam Anugerah Bintang Popular. Kali terahkir DJ RTM tersenarai adalah pada 2003, kalau tak silap saya. Yang tersenarai ialah Lynn Zainol dan Syahanaz dari Radio Muzik. Dan yang pernah menang Anugerah Seri Angkasa, selepas dibuka kepada semua stesen, ialah Prema dari KL.fm.

Namun sehingga hari ini belum ada pasangan di radio RTM yang ngam seperti yang di Hot , Sinar dan Era. Belum ada yang boleh menandingi Faizal – Farah, KE, SY dan Krill di Sinar.fm. Waima Aznil dan Din Beramboi di Era.
Seperti yang saya katakan, Hot.fm, Sinar.fm dan Era mudah menyusun strategi promosi kerana stesen radio mereka tidak banyak. Di RTM, pada pandangan saya ( saya mungkin salah) warga kerjanya tidak bersatu hati. Amat sukar untuk menyatukan kesemua DJ daripada lebih 30 stesen radio.

Yang benar selalunya menyakitkan. The truth always hurts. Ada yang berdengki, iri hati, cemburu dan suka menikam rakan dari belakang. Kelompok ini tak perlu banyak. Satu sudah cukup untuk menjatuhkan stesen radio. Ini yang berlaku. Pernah RTM memberi fokus kepada Klasik Nasional dan Muzik.fm. DJ stesen ini mendapat lebih promosi. Timbul pula rasa kurang senang hati dalam kalangan DJ stesen lain. Amat sukar untuk RTM melaksanakan strategi yang dirancang jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Ini belum hal peruntukan untuk urusan promosi dan pemasaran. Berapa sangat peruntukan radio untuk urusan promosi berbanding stesen swasta? Cari alternatif lain, PENAJA. Penaja pula nak tengok RATINGS. Jumlah pendengar tak banyak, sukarlah bagi penaja untuk membeli airtime. Itulah kitaran setan di RTM.

Radio Sweep

Hot.fm, Sinar.fm dan Era mengungguli senarai stesen Melayu. Stesen radio milik RTM yang termasuk dalam dalam senarai 10 teratas ialah Klasik Nasional, Muzik.fm, Kelantan.fm. RTM Regional tersenarai di tangga empat. Namun ini agak mengelirukan kerana terdapat lebih 30 stesen radio dan tidak dinyatakan stesen yang mana satu. RTM Regional (lebih 30 stesen) mendapat 17.7% syer pendengar manakala Hot, Era dan Sinar masing-masing membolot purata 22.5%. Itu angka dalam Radio Sweep kedua pada tahun 2009.

Minggu lepas kita menyaksikan stesen radio berperang untuk memastikan mereka kekal mengungguli senarai teratas. Paling rancak Hot.fm. Bermacam-macam hadiah disediakan untuk pendengar. Paling menarik sejumlah RM60,000 untuk pendengar bertuah sepanjang minggu ini. Pendengar wajib mendaftar melalui SMS. Itu duit masyuk bagi Hot.fm. Saya yakin ‘yuran pendaftaran’ yang diperoleh pasti lebih daripada cukup untuk ‘membayar’ pendengar yang bertuah.

Selain hadiah khas, Hot.fm menjadi pilihan ramai kerana menawarkan pelbagai hadiah, termasuk wang tunai pada setiap hari. Radio RTM pun menyediakan hadiah kepada pendengar, tetapi hadiahnya tidaklah sehebat Hot.fm. Sebagai pendengar (bukan pendengar setia) sudah pasti mereka lari ke stesen lain yang menjanjikan hadiah yang lebih lumayan.Pertengahan tahun ini kita lihatlah stesen mana yang mengungguli senarai 10 teratas.

NOTA: IPPTAR buat kenduri pulut kuning kalau Klasik Nasional atau Muzik.fm dapat nombor 1.

Rabu, Mac 17, 2010

MUDAHNYA BAGI ISTERI UNTUK MASUK SYURGA

Pada hari Rabu yang lepas Ketua-ketua Jabatan (yang perempuan sahaja) diundang ke rumah YB Menteri. Datin Seri Utama Maznah Rais menganjurkan majlis Maulidur Rasul.

Penceramah hebat Dato’ Dr. Fatma el- Zehraa menyampaikan tazkirah. Memang menarik penyampaiannya walaupun telor Arabnya jelas sekali. Dua perkara pokok yang disentuh iaitu kewajipan mentaati Rasulullah dan tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu.

Kita wajib menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dan mengasihi baginda lebih daripada kita menyayangi diri kita sendiri. Kita wajib beriman dan taat kepada Rasulullah. Bagaimana cara? Hayati sejarah Nabi Muhammad SAW dan mencontohi baginda dalam semua aspek.
(Lelaki, jangan fikir nak kahwin empat sahaja! )

Isteri wajib mentaati suami. Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Tetapi bagi perempuan yang bergelar isteri, syurga terletak di bawah telapak kaki suami. Dalam apa keadaan sekalipun, yang diutamakan suami. Nak balik ke rumah ibu bapa pun mesti mendapat izin suami. Lain pula dengan suami. Yang utama ialah ibu bapa, kemudian baru isteri. Jadi bayangkanlah wahai suami, sekiranya selama ini anda membelakangkan ibu bapa anda.

Wanita juga pemimpin rumah tangga. Ibu sebagai “role model” kepada anak-anak. Salah didikan, haru birulah masa hadapan anak-anak. Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah masa rebungnya. “Ibu cermin anak”. Baik ibunya, insya-Allah baiklah anaknya.

Amat mudah bagi isteri untuk masuk ke syurga. Begitu juga sebaliknya, senang juga bagi orang perempuan untuk masuk ke neraka jahanam. Saya tertarik dengan panduan Dato’ Dr. Fatma untk menjadi ahli syurga.
Kata Dato’ Dr. Fatma, mudah sahaja.

•Jangan biarkan suami lapar. Jaga makan minumnya. Kalau masak sendiri lagi bagus.

•Jangan sakiti hati suami. Jaga tutur kata. Jangan sekali-kali kita menceritakan aib suami.

•Jangan sakiti mata suami. Jaga penampilan diri di hadapan suami. Rumah dan bilik tidur (terutama sekali) mesti kemas.

•Jangan kacau waktu rehat suami.

Nasihat Dato’ Dr. Fatma lagi, selain keredaan suami untuk kita masuk ke syurga, kita juga wajib :

•menunaikan puasa pada bulan Ramadan,

•mengerjakan solat lima waktu dengan khusyuk (kalau tidak khusyuk,
tak dapat pahala)

•taat kepada Allah SWT

•taat kepada suami

•jaga kehormatan diri

Mungkin ada yang bertanya, apa pula peranan suami? Tanggungjawab suami amat berat. Suami menanggung segala dosa isteri. Bayangkan, kalau ada empat isteri. Dapat yang baik-baik, semua masuk syurga. Kalau tidak…baik kekal dengan seorang sahaja.

Perkara-perkara lain yang disentuh oleh Dato’ Dr. Fatma yang amat relevan dalam kehidupan seharian kita ialah menjaga hati. Jangan sampai kita dicap sebagai takabur, angkuh dan sombong. Walau pangkat tinggi menggunung, itu bukan lesen untuk kita menghina dan mengaibkan orang. “Be humble and down to earth”. Ular menyusur akar, tak akan hilang bisanya.

Hasad dengki menghapuskan kebajikan. Jadi tidak berbaloi kita berdengki sesama insan. Tulis surat layang, buat laporan palsu, sebar fitnah (sekaranglebih canggih, sebar melalui internet), tikam kawan dari belakang – semua ini kita lakukan kerana ada perasaan hasad dengki. Itulah manusia. Kaya dgn Phd – perasaan hasad dengki.

Bukankah lebih elok kita berbuat baik sesama insan. Balasannya di akhirat kalau tidak di dunia. Begitu juga bagi yang menganiaya orang lain. Kalau Allah tidak membalasnya di dunia, yang pasti orang yang berbuat jahat itu akan menerima hukuman yang setimpal di akhirat nanti.

Syukurlah, kami kaum hawa berkesempatan mendengar ceramah sempena Maulidur Rasul. Terima kasih kepada Datin Seri Utama Maznah Rais kerana sudi mengundang kami. Insya-Allah, kami akan berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik, penjawat awam yang lebih bertanggungjawab dan isteri dan ibu yang hebat.

NOTA: Datin Seri Utama Maznah memang wanita yang hebat. Isteri, ibu dan nenek yang penyayang. Boleh mengaji, berzanji, dan menyanyi dengan baik. Selain itu DSU juga aktif menulis skrip, cerpen dan novel. Dan rajin bersukan, bermain badminton. Tidak hairanlah susuk badannya kekal , dari dulu sampai sekarang, sama sahaja kekal KECIL MOLEK.

JAGA TEPI KAIN ORANG!


Hati siapa tidak tersentuh menatap gambar Syafiah Humairah Sahari di muka depan Mingguan Malaysia pada 1 Mac lalu. Kejam sungguh manusia! Sanggup mendera anak kecil yang tidak berdosa sedemikian rupa. Syafiah Humairah, 3 tahun, meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh teman lelaki ibunya. Suspek ini syaitan yang bertopengkan manusia. Tidak layak pun dipanggil binatang kerana binatang juga ada perasaan kasih sayang.

Ekoran berita ini, , Faizal Ismail dan Farah Fauzana yang sentiasa peka akan isu semasa mengutarakan topik ‘perlunya kita menjaga tepi kain orang’ untuk membendung perkara-perkara yang tidak diingini ini. Seorang pendengar Hot.fm seolah-olah menyalahkan dua orang saksi Ahmad Fikri Zakaria dan Faleeq Hakim Zazali kerana tidak melaporkan insiden suspek menendang Syafiah kepada pihak polis. Pada saya mereka berdua telah melakukan apa yang wajar kerana tidak mungkin mereka mampu menyelamatkan Syafiah.

Berdasarkan laporan akhbar, datuk mangsa, Aziz Shahar mengakui pernah ternampak kesan puntung rokok pada kaki dan dagu cucunya. Encik Aziz mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena tetapi tidak serius dalam menuntaskan perkara ini. Sekadar menyoal cucunya. Mana mungkin seorang anak kecil yang fobia terhadap teman lelaki ibunya berani berterus terang!

Laporan di muka surat 17 dalam akhbar yang sama mendedahkan hubungan sulit ibu mangsa, Siti Norhanim Aziz dengan suspek yang terjalin sejak enam tahun lalu. Rupanya selama ini mereka menyamar sebagai suami isteri untuk mengaburi mata jiran tetangga. Hasil daripada hubungan terlarang ini, mereka mendapat seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan. Jika benarlah laporan ini, kenapa selama ini Encik Aziz membiarkan anak perempuannya bersekedudukan dengan lelaki lain sedangkan Encik Aziz tahu yang Sahari masih suami anaknya. Yang jelas institusi keluarga Encik Aziz rapuh. Mungkin tidak adil bagi kita untuk menghukum keluarga Encik Aziz kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Siapa yang harus dipersalahkan? Pengaruh media? Pengaruh kawan-kawan? Kurang didikan agama?

Dalam hal ini, topik yang dibincangkan dalam Hot.fm tepat sekali. Kita kena jaga tepi kain orang, tapi biarlah bertempat. Jika ada yang tidak kena, wajar kita menegur. Islam pun mengajar perkara yang sama. Fardu kifayah. Kalau kita tidak tegur, kita juga menanggung dosa. Amar makruf nahi mungkar.

Kita semua ada peranan masing-masing. Buatlah yang termampu. Jika kita mengesyaki sesuatu yang tidak kena, laporlah kepada pihak berkuasa. Paling mudah hubungi talian 15999 – Talian Nur. Sekiranya masyarakat kita lebih prihatin, tidak timbullah kisah kehilangan kanak-kanak, pembuangan bayi, isteri didera, anak-anak didera, ponteng sekolah, membuli dan sebagainya.