Selasa, Februari 22, 2011

Wacana Ilmu dalam Utusan Malaysia

Ketika akhbar-akhbar dan seluruh masyarakat sedang sibuk membicarakan soal sambutan “Hari Kekasih” atau Valentine’s Day, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, IPPTAR pula memilih untuk memperjuangkan isu nasional yang lebih serius iaitu soal Bahasa Melayu. Bertempat di Dewan Cendekiawan, IPPTAR, seramai 200 peserta menyertai Wacana Ilmu : Santun Berbahasa yang dikemudikan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University. Wacana yang berlangsung pada 14 Februari 2011 telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Dr. Rothiah Omar. Alhamdulillah, wacana ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengamal media, penyiar, ahli akademik, budayawan serta pegawai dan kakitangan pelbagai agensi dan jabatan dalam KPKK. 

Meriah, padat dan berilmiah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga kerja IPPTAR yang telah menjayakan pelaksanaan wacana ini. Kejayaan wacana ini telah dilaporkan dalam berita Utusan Malaysia bertarikh 15 Februari 2011 seperti yang dipaparkan di bawah.


 Selepas 54 tahun kita merdeka, masih ada dalam kalangan warga penyiar yang tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kalau tidak masakan masih berlaku kesilapan bahasa dalam siaran radio dan televisyen, baik di stesen kerajaan mahupun di stesen swasta.

“Apa nama awak?”

“Panggilan dari siapa?”

“Selamat pagi kepada semua pendengar-pendengar xx.fm”

 “Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama anda”

 “Bertemu berkembali di hari Rabu.”

“beberapa jalan-jalan lain masih lagi jem”

“kemalangan telah dialihkan!”

Itu antara kesilapan yang sering dilakukan oleh DJ dan penyampai radio. Banyak lagi kesilapan lain terutamanya kesilapan ejaan yang berlaku dalam siaran TV dan kesilapan dalam siaran iklan. Jika ditunjukkan satu persatu memang tidak muat dalam ruangan entri blog ini. Tetapi benarlah, tidak ada satu hari yang berlalu tanpa kesilapan dalam siaran radio dan televisyen. Menyedari hakikat ini, IPPTAR menganjurkan wacana ilmu ini sebagai usaha untuk mengurangkan kesilapan bahasa dalam kalangan warga KPKK, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita.

Gambar kenangan bersama penceramah dan peserta yang hadir.

 Saya percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh Prof. Dr Awang Sariyan, objektif wacana ini untuk memastikan warga KPKK menggunakan bahasa Melayu yang betul, santun dan gramatis akan terlaksana. InsyaAllah.