Rabu, Mac 23, 2011

Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Simposium 2011



Satu persidangan antarabangsa bertajuk ABU Digital Simposium anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) telah diadakan pada 8 sehingga 11 Mac 2011 bertempat di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Peserta terdiri daripada penerbit rancangan dan jurutera penyiaran dari pelbagai agensi dan badan penyiaran tempatan dan asing manakala penceramahnya merupakan penyiar dan pakar teknikal yang berpengalaman luas. Simposium ini telah dirasmikan oleh Menteri Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, YB Dato’ Rais Yatim.

IPPTAR diwakili seramai 10 orang pegawai ke simposium tersebut. Selain meraih manfaat daripada pembentangan kertas kerja, IPPTAR berharap agar penyertaan pegawai-pegawainya dapat membantu usaha merangka kursus-kursus teknikal yang lebih berkualiti selepas mendalami perkembangan terkini teknologi penyiaran.

Tema simposium kali ini ialah “Adding the 3rd Dimension” yang memberi maksud menambahkan dimensi ketiga pada bahan penyiaran. Jika pada tahun lepas, simposium ini membahaskan perkembangan teknologi penyiaran HDTV (televisyen berdefinisi tinggi), tahun ini pula memperlihatkan hala tuju 3D.
Simposium ini bertujuan mendedahkan perkembangan terkini dalam bidang penyiaran di seluruh dunia. Tiga perkembangan utama dalam tempoh ini yang semakin mendapat perhatian dan permintaan orang ramai termasuk:

1. 3DTV dan cara penghantarannya kepada penonton.
2. Perkhidmatan multimedia melalui platform Hybrid TV. Ini bermakna penonton berpeluang untuk mendapatkan program TV, Radio dan perkhidmatan berasaskan internet semuanya dalam satu set TV.
3. Aplikasi “surround sound” dan video kecil yang diperoleh daripada radio digital.

Kesemua aspek ini telah diperincikan dalam simposium bertaraf antarabangsa melalui perdebatan industri, Bengkel DVBT2 yang berlangsung di IPPTAR, pameran daripada pembekal peralatan yang berkaitan, soal jawab kuiz dan ceramah berterusan. Walaupun Malaysia masih dalam proses peralihan untuk melaksanakan pendigitalan penyiaran secara menyeluruh menjelang tahun 2015, namun ada baiknya pihak-pihak berkepentingan mengetahui apakah langkah seterusnya setelah pendigitalan dan HDTV berjaya.

 Terus maju, terus cekap. Demi membina bangsa yang berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.