Rabu, Mac 23, 2011

Asia-Pacific Broadcasting Union Digital Simposium 2011



Satu persidangan antarabangsa bertajuk ABU Digital Simposium anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) telah diadakan pada 8 sehingga 11 Mac 2011 bertempat di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Peserta terdiri daripada penerbit rancangan dan jurutera penyiaran dari pelbagai agensi dan badan penyiaran tempatan dan asing manakala penceramahnya merupakan penyiar dan pakar teknikal yang berpengalaman luas. Simposium ini telah dirasmikan oleh Menteri Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, YB Dato’ Rais Yatim.

IPPTAR diwakili seramai 10 orang pegawai ke simposium tersebut. Selain meraih manfaat daripada pembentangan kertas kerja, IPPTAR berharap agar penyertaan pegawai-pegawainya dapat membantu usaha merangka kursus-kursus teknikal yang lebih berkualiti selepas mendalami perkembangan terkini teknologi penyiaran.

Tema simposium kali ini ialah “Adding the 3rd Dimension” yang memberi maksud menambahkan dimensi ketiga pada bahan penyiaran. Jika pada tahun lepas, simposium ini membahaskan perkembangan teknologi penyiaran HDTV (televisyen berdefinisi tinggi), tahun ini pula memperlihatkan hala tuju 3D.
Simposium ini bertujuan mendedahkan perkembangan terkini dalam bidang penyiaran di seluruh dunia. Tiga perkembangan utama dalam tempoh ini yang semakin mendapat perhatian dan permintaan orang ramai termasuk:

1. 3DTV dan cara penghantarannya kepada penonton.
2. Perkhidmatan multimedia melalui platform Hybrid TV. Ini bermakna penonton berpeluang untuk mendapatkan program TV, Radio dan perkhidmatan berasaskan internet semuanya dalam satu set TV.
3. Aplikasi “surround sound” dan video kecil yang diperoleh daripada radio digital.

Kesemua aspek ini telah diperincikan dalam simposium bertaraf antarabangsa melalui perdebatan industri, Bengkel DVBT2 yang berlangsung di IPPTAR, pameran daripada pembekal peralatan yang berkaitan, soal jawab kuiz dan ceramah berterusan. Walaupun Malaysia masih dalam proses peralihan untuk melaksanakan pendigitalan penyiaran secara menyeluruh menjelang tahun 2015, namun ada baiknya pihak-pihak berkepentingan mengetahui apakah langkah seterusnya setelah pendigitalan dan HDTV berjaya.

 Terus maju, terus cekap. Demi membina bangsa yang berdaya saing dan bertaraf antarabangsa.

Selasa, Februari 22, 2011

Wacana Ilmu dalam Utusan Malaysia

Ketika akhbar-akhbar dan seluruh masyarakat sedang sibuk membicarakan soal sambutan “Hari Kekasih” atau Valentine’s Day, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, IPPTAR pula memilih untuk memperjuangkan isu nasional yang lebih serius iaitu soal Bahasa Melayu. Bertempat di Dewan Cendekiawan, IPPTAR, seramai 200 peserta menyertai Wacana Ilmu : Santun Berbahasa yang dikemudikan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University. Wacana yang berlangsung pada 14 Februari 2011 telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Penerangan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Dr. Rothiah Omar. Alhamdulillah, wacana ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengamal media, penyiar, ahli akademik, budayawan serta pegawai dan kakitangan pelbagai agensi dan jabatan dalam KPKK. 

Meriah, padat dan berilmiah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga kerja IPPTAR yang telah menjayakan pelaksanaan wacana ini. Kejayaan wacana ini telah dilaporkan dalam berita Utusan Malaysia bertarikh 15 Februari 2011 seperti yang dipaparkan di bawah.


 Selepas 54 tahun kita merdeka, masih ada dalam kalangan warga penyiar yang tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kalau tidak masakan masih berlaku kesilapan bahasa dalam siaran radio dan televisyen, baik di stesen kerajaan mahupun di stesen swasta.

“Apa nama awak?”

“Panggilan dari siapa?”

“Selamat pagi kepada semua pendengar-pendengar xx.fm”

 “Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama anda”

 “Bertemu berkembali di hari Rabu.”

“beberapa jalan-jalan lain masih lagi jem”

“kemalangan telah dialihkan!”

Itu antara kesilapan yang sering dilakukan oleh DJ dan penyampai radio. Banyak lagi kesilapan lain terutamanya kesilapan ejaan yang berlaku dalam siaran TV dan kesilapan dalam siaran iklan. Jika ditunjukkan satu persatu memang tidak muat dalam ruangan entri blog ini. Tetapi benarlah, tidak ada satu hari yang berlalu tanpa kesilapan dalam siaran radio dan televisyen. Menyedari hakikat ini, IPPTAR menganjurkan wacana ilmu ini sebagai usaha untuk mengurangkan kesilapan bahasa dalam kalangan warga KPKK, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita.

Gambar kenangan bersama penceramah dan peserta yang hadir.

 Saya percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh Prof. Dr Awang Sariyan, objektif wacana ini untuk memastikan warga KPKK menggunakan bahasa Melayu yang betul, santun dan gramatis akan terlaksana. InsyaAllah.

Isnin, Januari 31, 2011

Selamat Tahun Baharu 2011

Tahun 2010 berakhir dengan penuh gemilang apabila pasukan bola sepak Malaysia memperoleh kemenangan yang membanggakan dalam Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun. Kejayaan ini membuktikan Malaysia telah jauh lebih membangun berbanding tahun-tahun sebelumnya terutamanya dalam arena sukan. Kini perkataan ‘transformasi’ semakin difahami dan lebih dihayati semua pihak.

Justeru itu, IPPTAR turut mengorak langkah untuk menjalani transformasi diri demi menjadi pusat kecemerlangan yang gah di KPKK. Sebaik tirai 2011 dibuka, beberapa perubahan telah dibuat oleh IPPTAR bagi menyahut cabaran YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dalam menjayakan misi Transformasi Kerajaan. Moga perubahan itu dapat membantu IPPTAR terus berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik untuk memenuhi keperluan latihan pegawai KPKK serta meningkatkan kualiti kerja.

Antara pembaharuan yang dibuat ialah sesi pertemuan setiap hari pada pukul 8:30 pagi. Ia bermatlamat duduk semeja sebelum memulakan tugas harian dalam sesi perbincangan bersama pasukan pengurusan IPPTAR supaya tidak tersasar daripada mencapai hala tuju IPPTAR. Selain itu, ciri inovasi dan kreatif ditekankan untuk meningkatkan produktiviti warga kerja IPPTAR. Ini direalisasikan dengan penubuhan tiga kumpulan KIK dalam kalangan warga kerja IPPTAR. Harapan kami satu yakni untuk sentiasa menambah baik proses kerja sedia ada, sekali gus meningkatkan prestasi dan citra IPPTAR.


 Biarpun Januari sampai ke penghujung , Februari bakal menjelma, pada kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011 kepada semua dan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai. Semoga kita diberi kesihatan yang baik, rezeki yang mencurah-curah dan kehidupan yang dibekati.

Khamis, September 09, 2010

SALAM AIDILFITRI

Assalamualaikum,

Saya dan keluarga mengucapkan,
Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf
Zahir Batin.

Ingatan tulus ikhlas..
Dato' Adilah Shek Omar

Rabu, September 01, 2010

Bila lagi nak naik pangkat?

Kelayakan yang tinggi tidak menjamin masa depan yang cerah. Tetapi ini tidak bererti pelajaran itu tidak penting. Sekurang-kurangnya kita mesti memiliki kelayakan asas. Tanpa kelayakan minimum, kita tak boleh bekerja dengan kerajaan. Untuk kerja dengan kerajaan, kita mesti lulus subjek Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.

Kerja dengan kerajaan, ada baik ada tak baiknya. Kalau kita nak masa depan yang stabil, eloklah berkhidmat dengan kerajaan kerana ada kemudahan pinjaman perumahan, pinjaman kereta dan pencen. Pencen untuk menyara hidup tua kita. Tapi kalau kita nak hidup senang-lenang berselimutkan wang ringgit, jangan kerja dengan kerajaan. Buat bisnes sendiri. Lagipun, sabda Rasulullah ,99% rezeki adalah melalui perniagaan.

Realitinya, jawatan tertinggi dalam kerajaan tidak banyak. Kena tunggu bertahun-tahun untuk naik pangkat. Kena bersaing untuk menonjolkan diri kita. Ada orang yang bekerja dalam sektor awam – dari mula masuk kerja sampai pencen, pegang jawatan yang sama. Mungkin dia kaki ponteng. Mungkin dia “low profile”. Mungkin dia tidak lulus ujian Jabatan dan PTK. Mungkin usahanya tidak cukup untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Ada orang baru tiga tahun bekerja, dah dinaikkan pangkat. Cepatnya. Mungkin juga dia pandai membodek. Mungkin dia rapat dengan atasannya. Atau mungkin “networking”nya hebat. Mungkin dia memang seorang “high flyer” . Atau mungkin tidak ada calon lain yang lebih layak. Itu rezeki namanya.

Ada orang pada awal karier, cepat naik pangkat. Pada hujung perkhidmatan, sangkut di gred yang sama untuk selama lebih 10 tahun. Kena mandi bunga agaknya. Tuah atau rezeki? Bergantung kepada keadaan. Siapa atasan kita? Berapa markah laporan prestasi kita? Apa sumbangan kita? Apa kepakaran kita? Siapa pesaing kita? Bagaimana pula persekitaran politik pada waktu itu?

Malanglah bagi mereka yang bekerja bersungguh-sungguh, mempunyai kelayakan secukupnya, berpengalaman dalam bidang kerjanya, mempunyai rekod kerja bersih, tidak ada tindakan tatatertib, ada pengalaman bekerja di luar negara, lulus PTK dengan cemerlang tetapi orang lain yang tidak ada kelayakan dan pengalaman sedemikian yang diberi kepercayaan dan dinaikkan pangkat. Apa boleh buat, pasrah sajalah.

NOTA: Kalau rasa tak bahagia bekerja dengan sektor awam, isilah borang opsyen untuk bersara awal.