Rabu, Mac 17, 2010

MUDAHNYA BAGI ISTERI UNTUK MASUK SYURGA

Pada hari Rabu yang lepas Ketua-ketua Jabatan (yang perempuan sahaja) diundang ke rumah YB Menteri. Datin Seri Utama Maznah Rais menganjurkan majlis Maulidur Rasul.

Penceramah hebat Dato’ Dr. Fatma el- Zehraa menyampaikan tazkirah. Memang menarik penyampaiannya walaupun telor Arabnya jelas sekali. Dua perkara pokok yang disentuh iaitu kewajipan mentaati Rasulullah dan tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu.

Kita wajib menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW dan mengasihi baginda lebih daripada kita menyayangi diri kita sendiri. Kita wajib beriman dan taat kepada Rasulullah. Bagaimana cara? Hayati sejarah Nabi Muhammad SAW dan mencontohi baginda dalam semua aspek.
(Lelaki, jangan fikir nak kahwin empat sahaja! )

Isteri wajib mentaati suami. Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Tetapi bagi perempuan yang bergelar isteri, syurga terletak di bawah telapak kaki suami. Dalam apa keadaan sekalipun, yang diutamakan suami. Nak balik ke rumah ibu bapa pun mesti mendapat izin suami. Lain pula dengan suami. Yang utama ialah ibu bapa, kemudian baru isteri. Jadi bayangkanlah wahai suami, sekiranya selama ini anda membelakangkan ibu bapa anda.

Wanita juga pemimpin rumah tangga. Ibu sebagai “role model” kepada anak-anak. Salah didikan, haru birulah masa hadapan anak-anak. Benarlah kata pepatah, melentur buluh biarlah masa rebungnya. “Ibu cermin anak”. Baik ibunya, insya-Allah baiklah anaknya.

Amat mudah bagi isteri untuk masuk ke syurga. Begitu juga sebaliknya, senang juga bagi orang perempuan untuk masuk ke neraka jahanam. Saya tertarik dengan panduan Dato’ Dr. Fatma untk menjadi ahli syurga.
Kata Dato’ Dr. Fatma, mudah sahaja.

•Jangan biarkan suami lapar. Jaga makan minumnya. Kalau masak sendiri lagi bagus.

•Jangan sakiti hati suami. Jaga tutur kata. Jangan sekali-kali kita menceritakan aib suami.

•Jangan sakiti mata suami. Jaga penampilan diri di hadapan suami. Rumah dan bilik tidur (terutama sekali) mesti kemas.

•Jangan kacau waktu rehat suami.

Nasihat Dato’ Dr. Fatma lagi, selain keredaan suami untuk kita masuk ke syurga, kita juga wajib :

•menunaikan puasa pada bulan Ramadan,

•mengerjakan solat lima waktu dengan khusyuk (kalau tidak khusyuk,
tak dapat pahala)

•taat kepada Allah SWT

•taat kepada suami

•jaga kehormatan diri

Mungkin ada yang bertanya, apa pula peranan suami? Tanggungjawab suami amat berat. Suami menanggung segala dosa isteri. Bayangkan, kalau ada empat isteri. Dapat yang baik-baik, semua masuk syurga. Kalau tidak…baik kekal dengan seorang sahaja.

Perkara-perkara lain yang disentuh oleh Dato’ Dr. Fatma yang amat relevan dalam kehidupan seharian kita ialah menjaga hati. Jangan sampai kita dicap sebagai takabur, angkuh dan sombong. Walau pangkat tinggi menggunung, itu bukan lesen untuk kita menghina dan mengaibkan orang. “Be humble and down to earth”. Ular menyusur akar, tak akan hilang bisanya.

Hasad dengki menghapuskan kebajikan. Jadi tidak berbaloi kita berdengki sesama insan. Tulis surat layang, buat laporan palsu, sebar fitnah (sekaranglebih canggih, sebar melalui internet), tikam kawan dari belakang – semua ini kita lakukan kerana ada perasaan hasad dengki. Itulah manusia. Kaya dgn Phd – perasaan hasad dengki.

Bukankah lebih elok kita berbuat baik sesama insan. Balasannya di akhirat kalau tidak di dunia. Begitu juga bagi yang menganiaya orang lain. Kalau Allah tidak membalasnya di dunia, yang pasti orang yang berbuat jahat itu akan menerima hukuman yang setimpal di akhirat nanti.

Syukurlah, kami kaum hawa berkesempatan mendengar ceramah sempena Maulidur Rasul. Terima kasih kepada Datin Seri Utama Maznah Rais kerana sudi mengundang kami. Insya-Allah, kami akan berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik, penjawat awam yang lebih bertanggungjawab dan isteri dan ibu yang hebat.

NOTA: Datin Seri Utama Maznah memang wanita yang hebat. Isteri, ibu dan nenek yang penyayang. Boleh mengaji, berzanji, dan menyanyi dengan baik. Selain itu DSU juga aktif menulis skrip, cerpen dan novel. Dan rajin bersukan, bermain badminton. Tidak hairanlah susuk badannya kekal , dari dulu sampai sekarang, sama sahaja kekal KECIL MOLEK.

1 ulasan:

qaseh tia berkata...

saya nak mintak share artikel ni..menarik..

Catat Ulasan