Selasa, Mei 18, 2010

WANITA TETAP HEBAT

Wanita hari ini memang hebat! Sehingga ada lelaki yang berasa tergugat. Kalau tidak masakan Setiausaha CUEPACS membuat kenyataan kerisauannya tentang banyaknya bilangan wanita yang menerajui organisasi, baik dalam sektor awam, mahupun sektor swasta.

Wajarlah bilangan wanita yang menjadi ketua atau pemimpin semakin banyak. Lihat saja peratusan pelajar wanita berbanding pelajar lelaki. Lebih 70 peratus pelajar di IPT terdiri daripada perempuan. Kita buat andaian mudah. Dua puluh peratus daripada mereka lulus cemerlang. Dua puluh peratus menyertai perkhidmatan awam. Tidak mustahil, 20 tahun akan datang, daripada 26 Kementerian di Malaysia , 20 kementerian diketuai oleh KSU wanita!

Ketika itu tidak mustahil , lebih banyak lelaki yang akan menjadi suri rumah. Lelaki mengambil alih peranan suri. Lelaki mengasuh anak. Lelaki memasak untuk keluarga. Lelaki membasuh dan menyidai kain. Lelaki mengemas rumah. Pendek kata, orang perempuanlah yang tanggung orang lelaki! TIDAK MUNGKIN?

Siapa kata tidak mungkin! Sekarang pun dah berlaku. Kaum lelaki dah hilang rasa malu. Memanglah bukan semua. Yang pasti ada. Seperti rakan lama saya, Maimon. Kami pernah belajar di IPT yang sama. Maimon pernah mengadu kepada saya. Suaminya selalu meminjam duitnya. Mula-mula pinjam. Kalau pinjam kenalah bayar. Pinjam tapi tak pernah bayar. Sudahnya, “tanggungjawab” Maimon pula meminjamkan duit kepada suami.

Nak kata suami tak kerja, kerja. Setiap bulan dapat gaji, tapi gaji lesap begitu saja. Kasihan kawan saya, Maimon. Kerja bertahun-tahun, duit simpanan tak ada. Semua simpanan dihabiskan oleh suaminya. Membayar hutang suami. Menanggung makan minum suami sampaikan seluar dalam suami pun Maimon yang belikan. Mana letaknya maruah suami!

Senang sungguh hidup orang lelaki. Tak payah fikir tanggungjawab kepada anak-anak dan isteri. Duit suami, duit suami. Duit isteri, duit suami. Isteri menanggung segala perbelanjaan - belanja dapur, bil api, bil air, bil telefon, bil Astro, biaya sekolah anak-anak, duit saku anak-anak, ansuran rumah, ansuran kereta, insurans, kad kredit, percutian dan saguhati kepada emak mertua!

Seronoknya jadi suami Maimon! Dari segi hukum, bagaimana pula? Sang suami, jawablah di akhirat nanti. Apapun Puan Maimon tetap wanita yang hebat.

NOTA: Lelaki boleh pasang empat. Carilah yang bekerja dan ada pencen. Bila keempat-empat isteri meninggal, semua pencen isteri, suami yang punya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan