Selasa, Mac 23, 2010

RADIO OH RADIO!

Prestasi Radio

Pada awal bulan Mac, Zainuri Misfar menyentuh tentang prestasi radio di Malaysia. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zainuri. Stesen radio swasta lebih menonjol berbanding stesen radio kerajaan. Radio kerajaan kalah dari segi persembahan. DJ di stesen kerajaan seperti “syok sendiri”.

Bukan tidak ada usaha daripada pengurusan radio untuk memulihkan radio RTM . Banyak masalah di RTM. Masalah yang diwarisi sejak abad yang lepas. Masalah DJ “tua”, kurang peruntukan promosi, kurang penyelarasan antara radio dan TV, tidak ada sokongan mantap daripada pihak yang terlibat dll.

Mungkin ramai yang tidak tahu. Format Hot.fm pernah dikemukakan kepada radio RTM pada sekitar tahun 2000 oleh agensi pamasaran ketika itu. Malah nama itulah yang dicadangkan. Sayang sekali tidak diterima kerana mungkin “tidak selari dengan sound of station radio kerajaan”. Jadi apabila Izham (yang memberi idea) berhijrah ke Media Prima, beliau diberi tanggungjawab untuk memulakan stesen radio. Format yang sama juga yang dicadangkan kepada pengurusan di sana. Format ini diterima dan lihat hasilnya hari ini. HOT.fm meletup dalam jangka masa yang singkat.

Hot.fm banyak kelebihan. Pengurusannya ada kuasa untuk mengambil dan membuang petugasnya. Mereka boleh membayar gaji yang setimpal dengan bakat, kebolehan dan populariti DJnya. Kalau di RTM, semuanya ada peraturan. Nak bayar upah pun mesti kadar yang diluluskan oleh Perbendaharaan. Tak boleh sesuka hati. Pendek kata pengurusan stesen swasta lebih mudah membuat keputusan. Contoh, pada Ogos lepas, Seelan Paul membuat keputusan untuk memberi RM20 ribu kepada juara pertandingan mencipta lagu patriotik selepas Faizal menelefonnya on air. Mungkin ini satu gimik. Apapun, saya pasti Faizal tidak perlu menyediakan kertas kerja atau kertas cadangan untuk Seelan Paul membuat keputusan.

Hot.fm satu-satunya stesen radio Melayu miliki Media Prima. Media Prima ada dua stesen TV Melayu – TV3 dan TV9. Tidak ada masalah bagi TV3 dan TV9 untuk mempromosi Hot.fm. Malah Faizal Ismail, Farah Fauzana, Kieran dan AG sering dipromosikan melalui TV3 dan TV9. Farah ada programnya sendiri di TV9 – Alahai Farah. Faizal, Kieran dan AG menjadi pengacara program TV, khususnya program hiburan.Faizal Ismail amat sinonim dengan Muzik Muzik/Juara Lagu. Muka Faizal dan Farah setiap hari dapat kita lihat di 8TV. Macam mana tak popular! Dan yang penting mereka ada kimia (chemistry). Kalau Faizal diberi pasangan lain; rasanya tak ada chemistry.

Begitu juga Farah, kalau dipasangkan dengan orang lain, pun tak ada chemistry.Begitu juga Sinar.fm yang boleh berbangga dengan pasangan trio pada sebelah pagi. Mereka terdiri daripada Kak Engku (KE), Salleh Yaacob (SY) dan Krill. Walaupun tiga orang, mereka tidak berebut-rebut untuk bercakap. Mereka saling melengkapi. .Persembahan mereka bersahaja, perbualannya biasa seperti orang bersembang. Lancar, tidak tersekat-sekat atau gagap.

Ini yang selalu saya ingatkan semasa saya di RTM. Bahasa di radio ialah bahasa pertuturan, tetapi jangan sampai kita bercakap “tunggang terbalik”. Amat malang kerana hasrat pengurusan radio untuk melahirkan DJ impian tidak kesampaian. Masih banyak kekurangan . Masih ada DJ yang tidak membuat perancangan. Apabila tidak ada perancangan, tidak ada talking points, maka penyampaian pun hancur. DJ RTM ada suara, malahan kualiti suara DJ RTM lebih baik berbanding yang swasta. Cuma banyak ruang untuk penambahbaikan dari segi persembahan .
Bak kata anak muda sekarang,“ada sikit kureng”. Apa tidaknya? Masih ada DJ yang menekan-nekan perkataan sehingga janggal bunyinya. Malah ada yang bunyi seperti mengajar, bercakap berjela-jela dan bahasa tunggang- langgang. Bukanlah semua DJ RTM teruk, ada yang baik cuma kurang diketengahkan kerana kurang pakej.

Peranan IPPTAR

Bermula tahun 2009, skop latihan IPPTAR diperluas kepada ketiga-tiga sektor dalam Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Pada tahun ini IPPTAR menganjurkan 85 kursus, 13 kursus untuk radio dan 7 daripadanya khusus bagi juruhebah. IPPTAR berusaha mencari tenaga pengajar yang terbaik untuk semua kursus anjurannya.

Semasa berkursus, DJ radio diajar tentang teori , diberi latihan amali dan berbincang mengenai kajian kes. Untuk menjadi penyiar yang lengkap, seseorang itu perlu banyak pendedahan. Seorang DJ mesti mempraktikkan ilmu yang diperoleh daripada berkursus. Selepas berkursus, memang wujud satu semangat baru dan keinginan untuk berubah. Ini fakta. Namun semua itu tidak kekal lama kerana selepas dua atau tiga bulan, DJ akan kembali ke sikap lama.

Pemahaman saja tidak cukup. Yang penting amalan. Mesti dilakukan secara berulang-ulang sehingga menjadi satu kebiasaan dan kemudian menjadi satu karakter seperti yang kita harapkan. Kalau di radio RTM, kita mahu hasilnya DJ yang popular dan bagus. DJ Impian!

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menjadikan Faizal Ismail, Ally Iskandar dan Cheryll Samad sebagai tanda aras bagi penyampai TV. Ini ekoran kejayaan mereka mengacarakan Anugerah Juara Lagu tempoh hari. Memang hebat persembahan mereka. Pihak media pun memuji mereka. Skrip ringkas. Perbualan mereka tidak berjela-jela. Mereka faham apa yang mereka perkatakan. Mereka tidak merujuk kepada teks. Kelihatan sangat profesional. Mereka nampak bijak apabila berjenaka spontan. Tidak ada lawak bodoh.

Pendek kata ada chemistry!Chemistry inilah yang belum terjumpa di radio RTM. Sebutlah nama pasangan di radio RTM. Siapa yang ada? Hezri dan Nazi, Muaz dan Azura? Mereka belum cukup popular. Belum ada yang tersenarai dalam Anugerah Bintang Popular. Kali terahkir DJ RTM tersenarai adalah pada 2003, kalau tak silap saya. Yang tersenarai ialah Lynn Zainol dan Syahanaz dari Radio Muzik. Dan yang pernah menang Anugerah Seri Angkasa, selepas dibuka kepada semua stesen, ialah Prema dari KL.fm.

Namun sehingga hari ini belum ada pasangan di radio RTM yang ngam seperti yang di Hot , Sinar dan Era. Belum ada yang boleh menandingi Faizal – Farah, KE, SY dan Krill di Sinar.fm. Waima Aznil dan Din Beramboi di Era.
Seperti yang saya katakan, Hot.fm, Sinar.fm dan Era mudah menyusun strategi promosi kerana stesen radio mereka tidak banyak. Di RTM, pada pandangan saya ( saya mungkin salah) warga kerjanya tidak bersatu hati. Amat sukar untuk menyatukan kesemua DJ daripada lebih 30 stesen radio.

Yang benar selalunya menyakitkan. The truth always hurts. Ada yang berdengki, iri hati, cemburu dan suka menikam rakan dari belakang. Kelompok ini tak perlu banyak. Satu sudah cukup untuk menjatuhkan stesen radio. Ini yang berlaku. Pernah RTM memberi fokus kepada Klasik Nasional dan Muzik.fm. DJ stesen ini mendapat lebih promosi. Timbul pula rasa kurang senang hati dalam kalangan DJ stesen lain. Amat sukar untuk RTM melaksanakan strategi yang dirancang jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Ini belum hal peruntukan untuk urusan promosi dan pemasaran. Berapa sangat peruntukan radio untuk urusan promosi berbanding stesen swasta? Cari alternatif lain, PENAJA. Penaja pula nak tengok RATINGS. Jumlah pendengar tak banyak, sukarlah bagi penaja untuk membeli airtime. Itulah kitaran setan di RTM.

Radio Sweep

Hot.fm, Sinar.fm dan Era mengungguli senarai stesen Melayu. Stesen radio milik RTM yang termasuk dalam dalam senarai 10 teratas ialah Klasik Nasional, Muzik.fm, Kelantan.fm. RTM Regional tersenarai di tangga empat. Namun ini agak mengelirukan kerana terdapat lebih 30 stesen radio dan tidak dinyatakan stesen yang mana satu. RTM Regional (lebih 30 stesen) mendapat 17.7% syer pendengar manakala Hot, Era dan Sinar masing-masing membolot purata 22.5%. Itu angka dalam Radio Sweep kedua pada tahun 2009.

Minggu lepas kita menyaksikan stesen radio berperang untuk memastikan mereka kekal mengungguli senarai teratas. Paling rancak Hot.fm. Bermacam-macam hadiah disediakan untuk pendengar. Paling menarik sejumlah RM60,000 untuk pendengar bertuah sepanjang minggu ini. Pendengar wajib mendaftar melalui SMS. Itu duit masyuk bagi Hot.fm. Saya yakin ‘yuran pendaftaran’ yang diperoleh pasti lebih daripada cukup untuk ‘membayar’ pendengar yang bertuah.

Selain hadiah khas, Hot.fm menjadi pilihan ramai kerana menawarkan pelbagai hadiah, termasuk wang tunai pada setiap hari. Radio RTM pun menyediakan hadiah kepada pendengar, tetapi hadiahnya tidaklah sehebat Hot.fm. Sebagai pendengar (bukan pendengar setia) sudah pasti mereka lari ke stesen lain yang menjanjikan hadiah yang lebih lumayan.Pertengahan tahun ini kita lihatlah stesen mana yang mengungguli senarai 10 teratas.

NOTA: IPPTAR buat kenduri pulut kuning kalau Klasik Nasional atau Muzik.fm dapat nombor 1.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dato', muaz & azura agak bagus digandingkan bersama. cuma sesekali sy rasa keserasian mereka belum sampai ke tahap yang cemerlang..tapi suka dengar mereka berdua ke udara..

idi berkata...

radio bernama (93.9) masih lagi menghiburkan walaupun ia jenama radio berita. 2-3 pasangan DJ di sana ada bau-bau chemistry. cubalah jenguk sebentar, mana tahu formula chemistry tuan boleh diperolehi dari situ.

ini kisah radio saya.
http://terchengang.blogspot.com/2010/12/sntm-say-no-to-mlm-bahagian-kedua.html

Tanpa Nama berkata...

Saya rasa masalah bahasa satu penyebab pendengar tidak mendegar radio kerajaan. Kita lihat DJ2 swasta bahasa dia simple...malah mereka mengunakan perkataan English + Melayu dan tidak mengunakan ayat baku sepenuhnya...yang rata2 masyarakat menerima dan menjadi halwa telinga yang menarik untuk golongan pertengahan. Kurangkan sket bahasa skema, yang penting ramaikan pendengar...apa guna DJ kalau tidak ada pendengar yang ramai seperti pelakon atau penyayi yg tidak ada peminat. Lagi, jangan bercerita politik di setiap hari... banyak lawak dan juga isu2 menarik sepanjang hari. Topik2 perbincangan adalah yang terbaik mesti di pilih dari yang terbaik. Lagu...erm... cari lagu best waktu lunch hour, waktu pagi dan petang...ramai org tak tahu ketika ini radio2 swasta atau kerajaan memainkan lagu yang cukup ngantuk. ZzzZZZz...dah tertido sambil dengar radio...dan cadangan lagi byk...tapi tak muat nak tulis sini dari teknikal, survey, contest...apa kata Jabatan Penerangan di gerakkan macam pasukkan skuad perodua era pergi ke kampung2 main contest...jgn biar van dia tersadai kat daerah2 sampai pancit..hhehee...yg penting bos2 juga turun padang buat survey. Ramai pemuda pemudi di dalam RTM...apa kata buat survey dah ape yg dia orang nak dengar baru tahu...apa pendengar mahu. Byk lagi cadangan takpe..next time boleh kot

DjRkwBesout berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
DjRkwBesout berkata...

semoga komen ini melengkapi apa jua perkara penyiaran... di sebabkan terlalu ketat peraturan radio maka wujud radio internet banyak sangat sekarang ini...apa pulak pandangan pembaca runagan ini pulak... nak di biarkan ke mcmana?

Tanpa Nama berkata...

Hi Datuk... seronok bila bab radio kerajaan ... sebab saya pun salah seorang penyampai radio kerajaan ... saya berkesempatan bekerjasama dengan beberapa syarikat swasta seperti TM..Perodua ...Giant..berkaitan dengan program radio lokasi... Imej korperat amat penting bagi suatu organisasi ..... walaupun hanya belon dihiasi dengan cantik...kain alas yang menarik ...susun atur lokasi dapat memberi gambaran yang positif kepada orang ramai...
Dari segi Radio pula ... kita kurang mencuit perasaan pendengar ... kurang penyampaian kreatif ... tidak kiralah dia DJ tua .. sekiranyanya dia boleh mengumbah minda seseorang dari negatif ke positif.... masyarakt dengar sesebuah stesen tu ada sebab ... updates ...pilihan lagu ( buat kita rasa menari dan imbau nostalgia ) sentak dan kuis hati mereka....dan apa yang penting ...Rangka itu kena tukar.... umpama rumah kena cat baru tapi rangka yang sama dan lusu... kita boleh jadikan radio rtm no 1 di setiap negeri dan negara ... kita kena ubah gaya bekerja ...ubah mindset ...untuk berjaya... saya yakin RTM mempunyai ramai pegawai yang kreatif dan inovatif...jangan biarkan mereka berhijrah ke tempat lain... ada yang menyatakan program radio swasta menarik hasil ataupun idea daripada pegawai RTM .... cuma di pakej semula utk lebih menarik dan menonjol... salam 1 Malaysia daripada Penerbit Rancangan ...

Catat Ulasan