Isnin, Mac 29, 2010

AKHIRNYA KE DAPUR JUGA…

“Pandai masak ke?” “Boleh ke dapur ke?” “Pandai berkemas?
“Mungkin ibu mentua sekarang tidak banyak kerenah. Tidak kisah kalau menantu (yang perempuanlah) tak pandai memasak dan mengemas.Betulkah? Mungkin ada kebenarannya. Hari ini soalan lazim ialah “cantikkah dia?”, “belajar di luar negerikah?”,“anak Dato’ mana”? dan soalan-soalan remeh yang lain.

Pada awal bulan Mac, saya tertonton drama “Dalil Cinta”. Tak perasan pula tv mana. Asalkan ada drama yang menarik, saya tonton, tak kiralah stesen mana. Jalan cerita Dalil Cinta mudah namun sarat dengan mesej. Cerita tentang pasangan suami isteri yang baru berkahwin. Suami seorang mekanik, isterinya masih belajar di kolej. Dan isteri ini tak pandai masak, malas mengemas rumah. Baginya, lebih mudah dan ekonomik untuk beli makanan di kedai kerana kalau masak pun, hanya dua orang yang nak makan. Jadi beli saja dan makan di rumah. Yang sedihnya, (nak menunjukkan si isteri ni memang pemalas) makan pun tak berhidang! Alasannya,senang tak payah cuci pinggan mangkuk. Jimat.

Ada satu adegan yang melucukan. Emak mentua dari kampung tiba-tiba datang menjenguk anak menantu di KL. Kelam kabut si isteri mengemas rumah. Kain baju yang belum berlipat ( isteri tak pandai lipat baju) disumbatnya ke dalam almari. Apabila Fahrin Ahmad (yang memegang watak suami) membuka almari, bertaburan baju jatuh terkeluar dari almari. Terkejut beruk emaknya!

Satu lagi adegan yang tak dapat saya lupakan ialah adegan ibu mentua menyuruh menantunya memasak ikan keli – masak asam pedas. Geli hati melihat Sharifah Amani membasuh ikan keli dengan sabun cuci pinggan. Bayangkan apa rasa asam pedas ikan keli!

Diringkas cerita, Fahrin dan Sharifah Amani berpisah sementara. Ibu bapa Sharifah Amani menghantarnya ke rumah ibu mentuanya untuk belajar memasak. Kesudahannya mereka berbaik semula.

Mesejnya mudah sahaja.

1. Orang perempuan, walau setinggi mana sekalipun kita belajar, sudahnya ke dapur juga. Walaupun kita ada pembantu rumah, kita wajib tahu memasak, lipat kain , kemas katil dan mengemas rumah.

2. Ibu bapa yang ada anak perempuan – latih anak perempuan agar cekap membuat kerja rumah. Kalau dapat emak mentua yang “tak kisah”, selamat anak kita. Kalau dapat yang cerewet?

3. Kalau tak pandai, kita belajar. Jangan pura-pura tahu. Kalau ketahuan, lebih gelabah jadinya.

NOTA: Wanita yang berkarier lebih besar tanggungjawabnya. Tambah pula kalau wanita yang bersuami yang mempunyai keluarga. Kaum bapa, sampai di rumah terus capai surat khabar atau tonton TV. Kaum ibu pula, terus ke dapur untuk menyiapkan makan malam. Kemudian tengok kerja sekolah anak-anak. Kalau tak ada pembantu, kita juga yang kena basuh basuh, lipat baju, seterika baju. Nak jimat belanja, semua kita buat sendiri. Kebanyakan suami buat apa??
BUAT TAK TAHU…

1 ulasan:

Ezette berkata...

mohon share :) thanks Dato' :)

Catat Ulasan